Rabu, 28 Disember 2011

JALANRAYA ANTARA KANIBONGAN DAN 11 BUAH KAMPUNG PERLU DIPERBAIKI.


musim hujan yang berlaku sekarang menyebabkan, ada kawasan jalanraya yang menghubungi antara Kanibongan dengan 11 buah Kampung tidak dapat dilalui oleh kereta walaupun jenis pacuan empat roda kerana ia ditenggalami oleh banjir.Kawasan jalan yang dimaksudkan itu ialah di kg. Masin Besar dan Kg.Masin.

Bilamana banjir ini berlaku, para pengguna jalan utama ini tidak dapat menyeberangi kerana airnya dalam dan arusnya juga deras.Keadaan ini menyebabkan segala urusan di Kanibongan seperti membeli keperluan makanan atau ke pitas untuk meminta rawatan di Hospital akan tergendala. Para penduduk kampung yang terlibat, memohon supaya ditembusi dan juga dipasang Culvert bagi mengatasi keadaan ini berlaku pada masa akan datang.

Isnin, 12 Disember 2011

BERJAYA KAH YANG DIIBARATKAN DUA SALURAN PAIP MEMBERI PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT DI KAWASAN BANGGI.

Semasa Kempen pilihanraya ke -12 pada bulan Mac 2008, Calon Barisan nasional (BN) bagi Dun Banggi iaitu Abdul Mijul Hj Unaini ( Sekarang Datuk ) dan kawasan parlimen Kudat iaitu Datuk Abd.Rahim Bakri seperti yang diramalkan akan memenangi kerusi masing-masing.

Kini dipenghujung tahun 2011 ini, gandingan dua YB ini hampir empat tahun berkhidmat dan memperjuangkan kepentingan rakyat di DUN dan Parlimen. Bagi Datuk Abd.Rahim Bakri ia merupakan term kedua bergelar Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Kudat juga sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia. Kombinasi kedua-dua YB ini dalam arena politik dianggap boleh membantu rakyat dalam merubah wajah yakni dalam bidang pembangunan di DUN Banggi (Pulau Banggi dan Daratan Kanibongan).


Penulis tidak memberi ulasan samada kedua-dua YB ini yang diumpamakan sebagai satu saluran paip yang besar ( Saluran paip kerajaan persekutuan) dan saluran paip yang datangnya daripada kerajaan Negeri Sabah, telah berjaya melaksanakan pelan strategi masing-masing atau sebaliknya. Kita serahkan kepada seluruh rakyat di kawasan Banggi bagi memberi penilaian terhadap mereka.

Selasa, 25 Oktober 2011

PENDUDUK KG.MAPAD DAN KG MAPAT JADI MANGSA OLEH KERAKUSAN INDIVIDU.

Para penduduk Kg.Mapad dan Mapat telah menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan seorang individu yang bertindak menjual kawasan tanah mereka kepada seorang taukeh berbangsa cina dari Sandakan. Individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri beliau telah bertindak mempengaruhi orang-orang Kampung termasuk Ketua Kampung menjual kawasan tanah perkampung dengan cara menipu.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, terdapat beberapa orang Kampung, ada terdapa beberapa orang yang bersetuju dan menandatangani jual-beli kawasan tanah tersebut.Penduduk Kampung yang lain tidak tahu mengenai penjualan ini. Hasil daripa perbuatan tidak berperikemanusiaan ini, pada 20. 1o.2011 yang lalu, sekumpulan orang pekerja taukeh berkenaan dengan diiringi oleh enam orang pegawai polis yang dipercayai diberi ganjaran, telah bertindak menebang pokok-pokok getah orang Kg.Mapat sehingga habis. Keadaan bertambah teruk apabila pemilik kebun getah berkenaan yang juga PJKKK di Kg tersebut iaitu En.Luping Mungui telah ditangkap dan dibawa oleh Polis yang bertindak sebagai "Body Guard" ini di Beluran, untuk tindakan yang selanjutnya. Apakah bentuk penyelesaian terhadap kes ini. Terima kasih kepada YB.Datuk Abd.Mijul Hj.Unaini ADUN N1 Banggi kerana tindakan cepat melawat kg yang terlibat pada 22hb.Okt.2011 untuk melihat dan meneliti keadaan sebenar yang berlaku.

Isnin, 24 Oktober 2011

TANAMAN GETAH PROJEK KHAS DISERAHKAN KEPADA PENDUDUK YANG TERLIBAT NAMUN DIKENAKAN BERBAGAI SYARAT


Projek Khas Tanaman Getah Berkelompok di Kanibongan yang melibatkan 17 buah Kampung telah diserahkan pemilikannya kepada para penduduk yang terlibat namun, telah mengenakan berbagai syarat kepada para pemilik. Antara syarat yang dikuatkuasakan ialah, potongan sebanyak 30 sen setiap sekilo bagi tahun 2011 ini, akan ada pemantau yang bertindak mengawal selia cara bagaimana setiap pemilik menoreh dan ini dilihat sebagai akan menyebabkab ketidakselesaan menoreh kerana sentiasa diperhati, tempoh perjanjian selama 30 tahun, yang pada pendapat saya tanaman getah itu tidak akan bertahan dalam jangka waktu itu kerana pokok getah ini cepat tumbang dan juga mati kerana mungkin disebabkan oleh penyakit.

Susu getah juga tidak dibenarkan untuk dijadikan kepingan.LIGS menetapkan bahawa susu getah itu dijadikan kentalan sahaja. Ini dilihat sebagai merugikan pemilik dari segi harga. Jadual pembelian dua minggu sekali juga semacam tidak praktikal ia ditambah lagi dengan cara pembelian yang tidak tunai. Semua syarat yang terkandung dalam agreement lebih banyak merumitkan daripada memberi keselesaan kepada rakyat. Harap kelak ada perubahan dasar bagi melonggarkan syarat.

Jumaat, 4 Mac 2011

TUNTUTAN AKHIRNYA DILAYAN OLEH KERAJAAN


Tuntutan demi tuntutan oleh para penduduk kampung di 18 buah kampung yang terlibat dalam projek khas tanaman getah di kawasan Kanibongan pada akhirnya telah dilayan dengan baik oleh kerajaan.

Dialog yang diadakan pada 02 March 2011 di Pitas yang melibatkan ketua-ketua kampung, Pegwai Daerah Pitas dan para pegawai LIGS dari ibu pejabat Kota- Kinabalu telah membuahkan hasil yang memang ditunggu selama ini oleh para peserta iaitu pemilikan terhadap lot-lot tanaman getah berkelompok itu.

Para peserta atau penduduk Kampung telah diberi hak untuk tujuan pemilikan lot tanaman getah yang telah mula diusaha dan dimajukan oleh LIGS pada tahun 2005. Terima kasih kepada kerajaan. Semoga dengan pemberian hak kepada masyarakat kampung akan menambah lagi sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah.

Sabtu, 26 Februari 2011

PENDUDUK 18 BUAH KAMPUNG TIDAK MENERIMA FORMULA PEMBAHAGIAN LOT TANAMAN GETAH ( PROJEK KHAS ) DI KANIBONGAN

Pengurusan atasan LIGS telah mencadang dan telah pun memberi penjelasan kepada para penduduk mengenai formula atau kaedah pembahagian lot-lot tanaman getah berkelompok di 18 buah Kampung sekitar Kanibongan. Menjelaskan cara pembahagian itu, Timbalan Pengarah LIGS iaitu Tuan Vincent Liew, setiap peserta hanya diberikan sebanyak 900 pokok getah sahaja.

Dengan jumlah itu, ini ternyata bahawa LIGS telah memanipulasikan rakyat yang terlibat dalam projek yang tidak direstui seratus peratus masyarakat Kanibongan.Ini kerana pada peringkat awal pengurusan penanaman getah berkelompok ini, setiapa peserta akan menerima atau mendapatkan semula tanah NCR mereka seluas 10 ekar.Ini projek membantu rakyat kah atau menipu rakyat? Ini persoalannya sekarang. Apapun yang akan berlaku orang kampung tetap dengan pendirian iaitu untuk mendapatkan semula tanah mereka seluas 10 ekar dan tidak langsung meneriam cadangan LIGS yang hanya memberikan 900 pokok atau kira-kira 5 ekar sahaja.Ada orang kampung berpendapat bahawa mereka tidak mauh tanaman getah itu, yang mereka kehendaki ialah tanah NCR mereka.

Para penduduk kampung yang terlibat juga mendesak supaya pembahagian lot tanaman itu haruslah diselesaikan sebelum PRU umum ke 13 akan datang.

Selasa, 28 Disember 2010

SUKU KAUM RUNGUS SEPATUTNYA MEMPUNYAI RUANGAN BAHASA RUNGUS DI RADIO SABAH.

Bahasa Kadazan,Dusun,Murut dan Bahasa Bajau sudah lama mempunyai ruangan dan siaran masing-masing di dalam Radio Sabah setiap hari. Bahasa Rungus yang merupakan salah satu bahasa yang dituturkan di Sabah terutama di bahagian utara negeri Sabah juga sepatutnya telah mempunyai ruangannya di Radio Sabah.

Adakah maasyarakt Rungus tidak menyedari kepentingannya atau mungkin ia terlepas pandang oleh para pemimpin Masyarakat itu sendiri atau ada kekangan lain yang menghalang usaha bagi mengujudkan siaran bahasa Rungus di dalam Radio Sabah.

Ramai berpendapat bahawa SAMORA atau Persatuan Rungus Sabah adalah medium yang sesuai untuk melaksanakan usaha dan tanggungjawab supaya bahasa Rungus ini diberi tempat dan ruang siarannya. Masyarakat Rungus mempunyai harapan yang besar kepada para pemimpin SAMORA ini.

Jumaat, 17 Disember 2010

PASUKAN SINASAK FC DARI N3 PITAS JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK SEMBILAN SEBELAH ANJURAN PEMUDA UPKO KUDAT 2010

Pasukan Sinasak FC dari N3 Pitas telah muncul sebagai juara kejohanan Bola Sepak sembilan sebelah Anjuran Pemuda UPKO Kudat tahun 2010. Pasukan tersebut mengalahkan Pasukan Surukut FC 3 gol tanpa balas pada perlawanan akhir yang berlangsung di padang Kg.Ranggal Kanibongan dalam DUN N1 Banggi pada 12 Disember yang lalu. Pasukan Sinasak FC menerima hadiah wang tunai RM 300, sebuah piala dan thorphy. Tempat kedua Pasukan Surukut FC menerima wang tunai RM 250,sebuah piala dan trophy, tempat ketiga pasukan tuan Rumah iaitu Ranggal menerima hadiah wang tunai RM200,sebuah piala dan thorphy. Sementara tempat ke empat adalah pasukan Manduring menerima wang tunai RM100 dan sebuah piala.

Semua hadiah tersebut disampaikan oleh Setiausaha Pemuda Kebangsaan iaitu Tommy Helarry Simbeh. Sebelum itu dalam ucapan perasmian penutupan beliau telah menjelaskan mengenai matlamat kejohanan tersebut.

Hadir sama dalam majlis penutupan kejohanan itu ialah Ketua Pemuda UPKO Kudat iaitu Johnny Mojuhi, Ketua Bahagian UPKO Kudat iaitu YBhg.Tuan Lightson Kohiya, Saudara Dennison Idang, ketua pemuda UPKO Kota Kinabalu, Saudara Jonwine e Sundang ketua pemuda UPKO Kota Belud, yang juga penaja utama hadiah kejohanan dan jawatankuasa penganjur serta masyarakat Kg.Ranggal

Kejohanan yang disertai sebanyak 11 pasukan itu adalah aktiviti akhir tahun pemuda UPKO Kudat.

Isnin, 6 Disember 2010

POKOK LADA HITAM SESUAI DITANAM DI SABAH


Penanaman Lada hitam di Sabah ini telah dirintiskan oleh UPKO Kudat di bawa pimpinan Ketua Bahagian UPKO iaitu YBhg.Tuan Lightson Kohiya.

Pokok Lada Hitam yang banyak ditanam di Sarawak ini telah sampai di Kanibongan pitas, pada 17 Ogos 2010 dan bermulalah para penanam Lada ini di kawasan Pitas (N3) dan Kanibongan (N1) banggi sebagai perintis penanaman komoditi ini.

Menurut para pegawai MPB(Lembaga Lada Malaysia ), menjelaskan bahawa pokok Lada ini juga adalah sesuai ditanam di Negeri Sabah. Ini adalah hasil daripada kajian terhadap kesesuaian tanah, khususnya di Kanibongan. Jika ada kesungguhan untuk mengusahakan tanaman ini ia akan membantu peningkatan ekonomi keluarga sekaligus keluar dari garis kemiskinan tegar. Apa tidaknya, hanya menanam sejumalh 400 pokok ia akan memberi pulangan puluhan ribu ringgit selepas 2 tahun penanamannya.

Soal pasaran tidak ada masalah MPB akan membantu setiap pengusaha tanaman komoditi ini.

Sabtu, 27 November 2010

SERAMAI 11 ORANG DARI SABAH MENGIKUTI KURSUS PENGELUARAN LADA DI KUCHING,SARAWAK.


Daripada 38 orang peserta yang mengikuti Kursus Pengeluaran Lada di Kuching Sarawak, terdapat 11 orang dari Sabah yang turut mengikuti kursus tersebut. Kursus ini diadakan pada 23 hingga 26 November 2010 bertempat di Pusat Latihan dan Pengembangan Lada di Kuching.

Ceramah, Lawatan ke Kilang memproses lada dan juga melawat Ladang contoh tanaman lada adalah pengisian program kursus berkenaan. Melalui kursus ini para peserta telah didedahkan, dengan teknik menanam lada, pembajaan, penggunaan racun yang betul, cara penjagaan tanaman lada dan sehingga kepada penuaian. Kursus yang berakhir pada 26 November ini telah disempurnakan oleh En. Philip Gaweng, Timbalan Pengarah bahagian Latihan dan pengembangan Lada.

Selasa, 2 November 2010

BANYAK LAGI KAMPUNG DI KANIBONGAN YANG BELUM MENIKMATI APA-APA PEMBANGUNAN

DUN Banggi yang meliputi kawasan Daratan dan kepulauan Banggi adalah satu kawasan yang besar dan sukar untuk ditadbir urus oleh sesiapa wakil Rakyat yang dipilih oleh Rakyat melalui pilihan raya. Pada masa sekarang ini Banggi mempunyai seorang wakil Rakyat yang pada pendapat sebahagian besar anggota masyarakat Kanibongan mempunyai corak kepimpinan yang baik dan sentiasa bertemu Rakyat.

Tidak merasa kecil hati dan kecewa cuma mewakili semua penduduk kampung di Kawasan kanibongan yang masih sepi dari segi pemberian kemudahan melului ADUN khususnya Kampung Kutoyon kanibongan Pitas. Sejak pembentukan kerajaan pada Mac 2008, sudah berusia 2 tahun 7 bulan. Kalau diiit semua perancangan telah dilaksanakan terutama yang berkaitan dengan pembangunan Kampung. Saya tidak menyentuh tentang Kampung lain.Saya hanya memfokuskan pada Kampung Kutoyon.

Kemudahan yang kami pohon ialah sebuah Balai muhibbah bagi menggantikan Balai muhibbah yang telah uzur.Permohonannya telah diluluskan pada jun 2009 namu, sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda kemudahan itu akan dibina. Dalam hal ini siapa yang silap.Adakah PJKKK yang mungkin tidak membuat follow up terhadap permohonan tersebut.

Kalaulah pilihanraya diadakan lebih awal maka, pendudk kampung Kutoyonlah yang kompunan untuk menikmati pembangunan. manusaia mudah sangat untuk berjanji tapi menunaikannya seribu dalih. Sudahlah pemilikan lot tanaman getah yang dikatakan projek khas sehingga kini belum selesai. APA KEBANGGAAN YANG HARUS KAMI PERKATAKAN.

Selasa, 12 Oktober 2010

KONVENSYEN UPKO GABUNGAN BAHAGIAN KOTA MARUDU DAN KUDAT.


Konvensyen UPKO Bahagian Kota Marudu dan Kudat telah diadakan pada 19 September 2010 yang baru lalu. Konvensyen Gabungan ini diadakan di Dewan Komuniti Pekan Kota Marudu telah dirasimikan oleh Presiden Parti UPKO YB Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Dalam Konvensyen tertutup kali ini, terdapat beberapa isu utama telah dibentang dan dibahaskan oleh para perwakilan daipada kedua-dua bahagian. Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu iaitu YB Senator Datuk Maijol Mahap telah membentangkan isu Tanah dan Ekonomi sementara YBgh.En.Lightson Kohiya Ketua Bahagian UPKO Kudat telah membentangkan Isu Perkongsian kuasa dan PTI. Isu-isu yang dibentang dan dibahaskan ini, akan dibawa ke Konvensyen UPKO Pusat yang dijangka akan diadakan pada 4 Disember akan datang ini.

Dalam Konvensyen ini, terdapat beberapa cawangan baru yang menyerahkan borang penubuhan cawangan dan keahlian kepada YB Tan Sri Presiden. Antaranya ialah Cawangan UPKO Kg.Mapad ( Parlimen Kudat ) yang diketuai oleh En.Mokijam Majula.

Hadir sama dalam Konvensyen ini ialah Ketua Pemuda UPKO Pusat iaitu YBgh.En Arthur Sean dan beberapa Exco pemuda.

Rabu, 14 Julai 2010

PANDANGAN SOMBRONO IBARAT MEMALU TIN YANG KOSONG

Kuasa yang terbatas dan faktor masyarakat Rungus itu sendiri yang menyebabkab sehingga ke hari ini kita lihat bahawa para pemimpin masyarakat Rungus khususnya di Kawasan Daratan Kanibongan dalam DUN Banggi adalah ikut-ikutan menurut pandangan sebelah mata dan tanpa memikirkan secara waras apa yang diketengahkan sebagi tatapan umum khasnya bagi masyarakat Rungus di Daratan Kanibongan ini.

Pandangan dan pendapat ini saya muatkan diruangan ini kerana memberi respon kepada pengunjung blog saya ini yang hanya pandai bercakap tetapi tidak memberikan sesuatu pandangan atau cadangan yang membina terhadap pola kepimpinan masyarakat Rungus di Kawasan Banggi.

Ayu kita mayarakat Rungus yang ada trampil.Jangan sembunyikan daya intelek anda, kita rubah keadaan yang ada sekarang ini. Kuat dan perkukuhkan kesatuan Rungus supaya kita dapat kuasa itu dan secara tak langsung kita bukan ikut-ikutan lagi seperti mana yang didakwa oleh individu yang menghantar komen ke dalam blog ini. Jangan memalu tin yang kosong kerana tidak akan mendatangkan hasil dan hanya membazirkan waktu.

Tulisan ini sebagai tatapan masyarakt Rungus di DUN Banggi. Kita fikir-fikirkanlah

Rabu, 16 Jun 2010

CARA PEMBAHAGIAN LOT-LOT TANAMAN GETAH BERKELOMPOK YANG DICADANGKAN OLEH LIGS TIDAK DIPERSETUJUI OLEH PENDUDUK KANIBONGAN.

Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS ) yang mencadangkan supaya pembahagian lot-lot tanaman Getah Berkelompok ( Projek Khas ) di 11 buah Kampung di Kanibongan tidak dipersetujui oleh semua penduduk kampung. Mengikut cadangan itu, pembahagian lot ditentukan oleh cabutan undi.Ini menyebabkan ada panduduk kampung yang akan mendapat lot di kawasan kampung yang lain dan bukanya di kampungnya sendiri.

Cadangan pembahagian ini adalah tidak masuk akal dan akan ditentang habis-habisan oleh penduduk kampung.Sudahlah tidak ada penjelasan matlamat penanaman getah berkelompok itu di kawasan TANAH ADAT orang kampung, cara pembahagian yang dicadangkan menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Orang kampung tidak mahu diperbodoh-bodohkan oleh LIGS.

UPKO ADALAH PARTI YANG SESUAI BAGI MASYARAKAT RUNGUS

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun -Murut Bersatu ( UPKO ) adalah satu-satunya parti di Negeri Sabah yang sesuai disertai oleh Masyarakat Rungus.Ini kerana dasar parti ini yang memperjuangkan masyarakat KDM.

Masyarakat suku kaum Rungus yang pada masa ini dianggarkan hampir 50,000 orang, tinggal di beberapa daerah di utara Sabah iaitu di Kudat, sikuati, Matunggong,Kota Marudu, pitas dan di Kanibongan ( Dalam kawasan DUN Banggi ). Masyarakat Rungus perlu bersatu dalam satu parti yang sama supaya masyarakat lain merasa hormat kepada masyarakat Rungus terutama sekali bagi masyarakat Rungus yang berada di Kanibongan.

Menyertai parti lain dilihat sebagai merugikan masyarakat Rungus itu sendiri.Kerana selagi kita tidak bersatu disebabkan ingin mengejar habuan akan menyebabkan masyarakat Rungus di sini akan selama-lamanya jadi pak turut dan pak angguk. Fikir-fikirkanlah perkara ini.

Saya sarankan sesiapa yang sempat membacanya, silap beri respon dan cadangan.

Sabtu, 29 Mei 2010

PEMUDA BN PARLIMEN KUDAT MENGANJURKAN PROGRAM JUARA RAKYAT SEPANJANG BULAN JUN 2010

Pemuda Barisan Nasional Parlimen Kudat akan menganjurkan Progrma "Juara Rakyat" pada sepanjang bulan jun yang akan datang ini. Penganjuran Program ini diterajui oleh Ketua Pemuda UMNO Kudat iaitu Ybgh. Tuan Sh.Sahar Sh.Ading selaku pengerusi Induk program. Pelaksanaan program ini melibatkan semua ketua-ketua pemuda komponen daripada PBS, UPKO dan LDP.

Dalam program itu tiga DUN yang ada dalam parlimen Kudat akan menganjurkan aktiviti berbentuk sukan permainan dan juga sukaneka dan akan dikendali dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa di peringkat DUN masing-masing. Bagi Dun Banggi program ini diadakan di dua lokasi iaitu di Pulau Banggi dan juga di Kawasan Daratan Kanibongan.

Program ini yang dilaksanakan sempena dengan 'Bulan Belia dan Sukan' mensasarkan kepada para belia di kawasan parlimen Kudat.

Jumaat, 28 Mei 2010

IPTS RUANG TERBAIK PELAJAR BAGI MENERUSKAN PENGAJIAN


IPTS (Institiusi Pengajian Tinggi Swasta ) merupakan ruang yang terbaik para pelajar bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana kerana ia dianggap setanding dengan IPTA. Universiti Tun Abdul Razak Kampus Sabah merupakan salah sebuah IPTS yang terkenal di negara kita.(Gambar suasan pendaftaran UNITAR)

IPTS ini menawarkan berbagai kursus pilihan sama ada peringkat Diploma dan juga Bachelor. Universiti Tun Abdul Razak atau ringkasnya UNITAR kita bakal berpindah ke bangunan barunya pada bulan julai ini di Luyang.

Pada 24 dan 25 Mei yang lalu IPTS ini telah mengadakan pendaftaran pelajar baru. pendaftaran tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar.Universiti ini menyediakan berbagai kemudahan kepada pelajarnya. Antara kemudahan yang disediakan ialah Hostel, pengangkutan untuk pergi dan balik menghadiri kuliah dan lain-lain kemudahan lagi.

Jumaat, 21 Mei 2010

KANIBONGAN PERLU DINAIK TARAF SEBAGAI DAERAH KECIL


Sambutan Kaamatan peringkat Daerah Kecil Banggi yang diadakan di Dewan terbuka Pekan Kanibongan yang dirasmikan oleh ADUN N1 Banggi sendiri iaitu YB.Abdul Mijul Hj.Unaini, telah turut dihadiri oleh dua lagi Adun iaitu YB.Sarapin Magana ADUN N4 Matunggong selaku Setiausaha politik kepada Ketua Menteri dan juga ADUN N3 Pitas, Yang Berhormat Datuk Bolkiah Hj.Ismail, Pembantu Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Walaupun kedua-dua Yang Berhormat ini hanya sebagai VVIP pada perayaan itu dan tiada ruang kesempatan untuk berucap namun, adalah diharapkan Yang Berhormat Sarapin Magana dan Yang Berhormat Datuk Bolkiah Hj.Ismail dapat melihat sendiri mengenai keadaan Pekan Kanibongan yang masih lagi dahagakan pembangunan seperti ruang permis untuk berniaga,kemudahan-kemudahan lain seperti Dewan yang selesa , Mini Pusat Sukan, bekalan air dan lain-lain kemudahan pembangunan Luar Bandar. Dan boleh membantu YB.Abd.Mijul Hj.Unaini bagi menyatakan hasrat kepada Ketua Menteri melalui, mesyuarat-mesyuarat Kabenit Negeri.

Dalam ucapan perasmian oleh YB.Abdul Mijul Hj.Unaini, menjelas dan menekankan bahawa perpaduan adalah elemen penting yang harus diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Satu perkara paling penting yang disentuh oleh YB ialah pemberian taraf DAERAH KECIL KEPADA KANIBONGAN. Selagi keadaan dan kedudukan Kanibongan sekarang ini tidak berubah adalah amat sukar untuk membuat pelan pembangunan di Kanibongan. YB.Abd.Mijul Hj.Unaini telah berjanji akan membawa dan mengajukan masalah ini ke Ketua Menteri Sabah.

Sebelum daripada itu, Pengerusi Pelaksana Perayaan iaitu Tuan. Makuji Maturon dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, merangkap pengerusi Induk perayaan turut menyampaikan ucapan masing-masing.

Acara kemuncak perayaan ini ialah Pertandingan UNDUK NGADAU bagi memilih wakil ke pertandingan peringkat Negeri pada penghujung bulan ini di Hongkod Koisaan Penampang,Sabah.

Khamis, 20 Mei 2010

KAAMATAN UPKO KUDAT MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN


Tarikh 17 Mei 2010 menjadi sejarah kerana julung kalinya Parti KDM iaitu UPKO telah berjaya mengadakan Perayaan Kaamatan Peringkat Parlimen Kudat. Perayaan itu yang dianjur dan dikendalikan oleh Jawatan kuasa Bahagian UPKO Kudat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat di kawasan pitas.

Perayaan yang bertempat di Dewan Kampung Indah pitas ini, dirasmikan oleh Tan Sri Bernerd Giluk Dompok Presiden UPKO merangkap Menteri Perusahaan, perladangan dan Komoditi Malaysia. Dalam perayaan itu terdapat 7 cawangan baru UPKO telah menyerahkan borang keahlian mereka.

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Bernard telah menyentuh pelbagai isu. Antara yang dijelaskan oleh beliau ialah isu tanah, kedudukan UPKO dalam barisan Nasional dan lain-lain lagi.

Sebelum itu, Pengerusi Pelaksana Kaamatan iaitu En.Innocent Lasimbang dalam ucapannya yang mengalu-alukan kedatangan Tan Sri ke pitas berharap supaya perayaan itu asas kepada perpaduan masyarakat pelbagai etnik di kawasan parlimen Kudat. Sementara Ketua Bahagian UPKO Kudat iaitu YBhg. En.Lightson Kohiya dalam ucapannya, menyentuh tentang pemilikan Lot tanah tanaman getah berkelompok di kawasan Kanibongan. Beliau yang juga Ahli Majlis tertinggi UPKO pusat merupakan seorang jurutera dan pemimpin muda yang berwawasan dan berpandangan.

Serentak dengan perayaan itu juga, pejabat UPKO Kudat yang terleyak di pekan pitas turut dirasmikan oleh Tan Sri Bernard G.Dompok. Acara kemuncak perayaan ialah UNDUK NGADAU bagi memilih wakil UPKO Kudat ke pertandingan Unduk Ngadau perayaan Kaamatan UPKO peringkat Kebangsaan di Keningau Sabah pada 29 Mei akan datang.

Isnin, 26 April 2010

AKHIRNYA LIGS MEMPERKOTAK-KATIKKAN PENDUDUK BEBERAPA BUAH KAMPUNG DI SEKITAR KANIBONGAN

Pada akhirnya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS ) telah memperkotak - katikkan semua penduduk di 17 buah Kampung terhadap pemilikan lot-lot tanaman getah berkelompok. Mengikut berita terbaru yang diterima oleh orang kampung bahawa, setiap keluarga yang tanah mereka diusahakan oleh LIGS bagi penanaman getah tersebut hanya diberi 1000 pokok atau 5.5 ekar sahaja.
Berita ini tidak menggembirakan malahan, ia membangkitkan kemarahan kerana rencana penipuan ini telah menjadi kenyataan. Kita ingin bertanya.Apakah matlamat utama pelaksanaan projek mega ini. Adakah ia untuk membantu memajukan tanah atau hanya menimbulkan kemarahan penduduk kampung.

Sebelum projek ini di tempatkan di kampung-kampung yang terlibat, setiap seisi keluarga mempunyai tanah ADAT seluas 30 ekar.Bila pujuk rayu LIGS diterima maka, tanah ini diserahkan kepada LIGS untuk diusahakan dengan jamin bahawa setiap keluarga akan memperolehi tanaman getah itu seluas 10 ekar. Ini bermakna, seluas 20 ekar tanah telah dikorbankan oleh para pemilik tanah kerana terlalu gembira dengan 10 ekar yang dijanjikan tadi.Ini berlaku pada penghujung tahun 2004.

Pada tahun 2010 ini,pokok-pokok getah ini sudah matang dan pembahagian lot akan dijalankan dalam masa terdekat. Formula pembahagiannya adalah seperti yang dinyatakan di atas. Kaedah ini tidak dipersetujui oleh itu, adalah wajar ia dikaji semula oleh LIGS.
 

Featured