Selasa, 28 Disember 2010

SUKU KAUM RUNGUS SEPATUTNYA MEMPUNYAI RUANGAN BAHASA RUNGUS DI RADIO SABAH.

Bahasa Kadazan,Dusun,Murut dan Bahasa Bajau sudah lama mempunyai ruangan dan siaran masing-masing di dalam Radio Sabah setiap hari. Bahasa Rungus yang merupakan salah satu bahasa yang dituturkan di Sabah terutama di bahagian utara negeri Sabah juga sepatutnya telah mempunyai ruangannya di Radio Sabah.

Adakah maasyarakt Rungus tidak menyedari kepentingannya atau mungkin ia terlepas pandang oleh para pemimpin Masyarakat itu sendiri atau ada kekangan lain yang menghalang usaha bagi mengujudkan siaran bahasa Rungus di dalam Radio Sabah.

Ramai berpendapat bahawa SAMORA atau Persatuan Rungus Sabah adalah medium yang sesuai untuk melaksanakan usaha dan tanggungjawab supaya bahasa Rungus ini diberi tempat dan ruang siarannya. Masyarakat Rungus mempunyai harapan yang besar kepada para pemimpin SAMORA ini.

Jumaat, 17 Disember 2010

PASUKAN SINASAK FC DARI N3 PITAS JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK SEMBILAN SEBELAH ANJURAN PEMUDA UPKO KUDAT 2010

Pasukan Sinasak FC dari N3 Pitas telah muncul sebagai juara kejohanan Bola Sepak sembilan sebelah Anjuran Pemuda UPKO Kudat tahun 2010. Pasukan tersebut mengalahkan Pasukan Surukut FC 3 gol tanpa balas pada perlawanan akhir yang berlangsung di padang Kg.Ranggal Kanibongan dalam DUN N1 Banggi pada 12 Disember yang lalu. Pasukan Sinasak FC menerima hadiah wang tunai RM 300, sebuah piala dan thorphy. Tempat kedua Pasukan Surukut FC menerima wang tunai RM 250,sebuah piala dan trophy, tempat ketiga pasukan tuan Rumah iaitu Ranggal menerima hadiah wang tunai RM200,sebuah piala dan thorphy. Sementara tempat ke empat adalah pasukan Manduring menerima wang tunai RM100 dan sebuah piala.

Semua hadiah tersebut disampaikan oleh Setiausaha Pemuda Kebangsaan iaitu Tommy Helarry Simbeh. Sebelum itu dalam ucapan perasmian penutupan beliau telah menjelaskan mengenai matlamat kejohanan tersebut.

Hadir sama dalam majlis penutupan kejohanan itu ialah Ketua Pemuda UPKO Kudat iaitu Johnny Mojuhi, Ketua Bahagian UPKO Kudat iaitu YBhg.Tuan Lightson Kohiya, Saudara Dennison Idang, ketua pemuda UPKO Kota Kinabalu, Saudara Jonwine e Sundang ketua pemuda UPKO Kota Belud, yang juga penaja utama hadiah kejohanan dan jawatankuasa penganjur serta masyarakat Kg.Ranggal

Kejohanan yang disertai sebanyak 11 pasukan itu adalah aktiviti akhir tahun pemuda UPKO Kudat.

Isnin, 6 Disember 2010

POKOK LADA HITAM SESUAI DITANAM DI SABAH


Penanaman Lada hitam di Sabah ini telah dirintiskan oleh UPKO Kudat di bawa pimpinan Ketua Bahagian UPKO iaitu YBhg.Tuan Lightson Kohiya.

Pokok Lada Hitam yang banyak ditanam di Sarawak ini telah sampai di Kanibongan pitas, pada 17 Ogos 2010 dan bermulalah para penanam Lada ini di kawasan Pitas (N3) dan Kanibongan (N1) banggi sebagai perintis penanaman komoditi ini.

Menurut para pegawai MPB(Lembaga Lada Malaysia ), menjelaskan bahawa pokok Lada ini juga adalah sesuai ditanam di Negeri Sabah. Ini adalah hasil daripada kajian terhadap kesesuaian tanah, khususnya di Kanibongan. Jika ada kesungguhan untuk mengusahakan tanaman ini ia akan membantu peningkatan ekonomi keluarga sekaligus keluar dari garis kemiskinan tegar. Apa tidaknya, hanya menanam sejumalh 400 pokok ia akan memberi pulangan puluhan ribu ringgit selepas 2 tahun penanamannya.

Soal pasaran tidak ada masalah MPB akan membantu setiap pengusaha tanaman komoditi ini.

Sabtu, 27 November 2010

SERAMAI 11 ORANG DARI SABAH MENGIKUTI KURSUS PENGELUARAN LADA DI KUCHING,SARAWAK.


Daripada 38 orang peserta yang mengikuti Kursus Pengeluaran Lada di Kuching Sarawak, terdapat 11 orang dari Sabah yang turut mengikuti kursus tersebut. Kursus ini diadakan pada 23 hingga 26 November 2010 bertempat di Pusat Latihan dan Pengembangan Lada di Kuching.

Ceramah, Lawatan ke Kilang memproses lada dan juga melawat Ladang contoh tanaman lada adalah pengisian program kursus berkenaan. Melalui kursus ini para peserta telah didedahkan, dengan teknik menanam lada, pembajaan, penggunaan racun yang betul, cara penjagaan tanaman lada dan sehingga kepada penuaian. Kursus yang berakhir pada 26 November ini telah disempurnakan oleh En. Philip Gaweng, Timbalan Pengarah bahagian Latihan dan pengembangan Lada.

Selasa, 2 November 2010

BANYAK LAGI KAMPUNG DI KANIBONGAN YANG BELUM MENIKMATI APA-APA PEMBANGUNAN

DUN Banggi yang meliputi kawasan Daratan dan kepulauan Banggi adalah satu kawasan yang besar dan sukar untuk ditadbir urus oleh sesiapa wakil Rakyat yang dipilih oleh Rakyat melalui pilihan raya. Pada masa sekarang ini Banggi mempunyai seorang wakil Rakyat yang pada pendapat sebahagian besar anggota masyarakat Kanibongan mempunyai corak kepimpinan yang baik dan sentiasa bertemu Rakyat.

Tidak merasa kecil hati dan kecewa cuma mewakili semua penduduk kampung di Kawasan kanibongan yang masih sepi dari segi pemberian kemudahan melului ADUN khususnya Kampung Kutoyon kanibongan Pitas. Sejak pembentukan kerajaan pada Mac 2008, sudah berusia 2 tahun 7 bulan. Kalau diiit semua perancangan telah dilaksanakan terutama yang berkaitan dengan pembangunan Kampung. Saya tidak menyentuh tentang Kampung lain.Saya hanya memfokuskan pada Kampung Kutoyon.

Kemudahan yang kami pohon ialah sebuah Balai muhibbah bagi menggantikan Balai muhibbah yang telah uzur.Permohonannya telah diluluskan pada jun 2009 namu, sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda kemudahan itu akan dibina. Dalam hal ini siapa yang silap.Adakah PJKKK yang mungkin tidak membuat follow up terhadap permohonan tersebut.

Kalaulah pilihanraya diadakan lebih awal maka, pendudk kampung Kutoyonlah yang kompunan untuk menikmati pembangunan. manusaia mudah sangat untuk berjanji tapi menunaikannya seribu dalih. Sudahlah pemilikan lot tanaman getah yang dikatakan projek khas sehingga kini belum selesai. APA KEBANGGAAN YANG HARUS KAMI PERKATAKAN.

Selasa, 12 Oktober 2010

KONVENSYEN UPKO GABUNGAN BAHAGIAN KOTA MARUDU DAN KUDAT.


Konvensyen UPKO Bahagian Kota Marudu dan Kudat telah diadakan pada 19 September 2010 yang baru lalu. Konvensyen Gabungan ini diadakan di Dewan Komuniti Pekan Kota Marudu telah dirasimikan oleh Presiden Parti UPKO YB Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Dalam Konvensyen tertutup kali ini, terdapat beberapa isu utama telah dibentang dan dibahaskan oleh para perwakilan daipada kedua-dua bahagian. Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu iaitu YB Senator Datuk Maijol Mahap telah membentangkan isu Tanah dan Ekonomi sementara YBgh.En.Lightson Kohiya Ketua Bahagian UPKO Kudat telah membentangkan Isu Perkongsian kuasa dan PTI. Isu-isu yang dibentang dan dibahaskan ini, akan dibawa ke Konvensyen UPKO Pusat yang dijangka akan diadakan pada 4 Disember akan datang ini.

Dalam Konvensyen ini, terdapat beberapa cawangan baru yang menyerahkan borang penubuhan cawangan dan keahlian kepada YB Tan Sri Presiden. Antaranya ialah Cawangan UPKO Kg.Mapad ( Parlimen Kudat ) yang diketuai oleh En.Mokijam Majula.

Hadir sama dalam Konvensyen ini ialah Ketua Pemuda UPKO Pusat iaitu YBgh.En Arthur Sean dan beberapa Exco pemuda.

Rabu, 14 Julai 2010

PANDANGAN SOMBRONO IBARAT MEMALU TIN YANG KOSONG

Kuasa yang terbatas dan faktor masyarakat Rungus itu sendiri yang menyebabkab sehingga ke hari ini kita lihat bahawa para pemimpin masyarakat Rungus khususnya di Kawasan Daratan Kanibongan dalam DUN Banggi adalah ikut-ikutan menurut pandangan sebelah mata dan tanpa memikirkan secara waras apa yang diketengahkan sebagi tatapan umum khasnya bagi masyarakat Rungus di Daratan Kanibongan ini.

Pandangan dan pendapat ini saya muatkan diruangan ini kerana memberi respon kepada pengunjung blog saya ini yang hanya pandai bercakap tetapi tidak memberikan sesuatu pandangan atau cadangan yang membina terhadap pola kepimpinan masyarakat Rungus di Kawasan Banggi.

Ayu kita mayarakat Rungus yang ada trampil.Jangan sembunyikan daya intelek anda, kita rubah keadaan yang ada sekarang ini. Kuat dan perkukuhkan kesatuan Rungus supaya kita dapat kuasa itu dan secara tak langsung kita bukan ikut-ikutan lagi seperti mana yang didakwa oleh individu yang menghantar komen ke dalam blog ini. Jangan memalu tin yang kosong kerana tidak akan mendatangkan hasil dan hanya membazirkan waktu.

Tulisan ini sebagai tatapan masyarakt Rungus di DUN Banggi. Kita fikir-fikirkanlah

Rabu, 16 Jun 2010

CARA PEMBAHAGIAN LOT-LOT TANAMAN GETAH BERKELOMPOK YANG DICADANGKAN OLEH LIGS TIDAK DIPERSETUJUI OLEH PENDUDUK KANIBONGAN.

Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS ) yang mencadangkan supaya pembahagian lot-lot tanaman Getah Berkelompok ( Projek Khas ) di 11 buah Kampung di Kanibongan tidak dipersetujui oleh semua penduduk kampung. Mengikut cadangan itu, pembahagian lot ditentukan oleh cabutan undi.Ini menyebabkan ada panduduk kampung yang akan mendapat lot di kawasan kampung yang lain dan bukanya di kampungnya sendiri.

Cadangan pembahagian ini adalah tidak masuk akal dan akan ditentang habis-habisan oleh penduduk kampung.Sudahlah tidak ada penjelasan matlamat penanaman getah berkelompok itu di kawasan TANAH ADAT orang kampung, cara pembahagian yang dicadangkan menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Orang kampung tidak mahu diperbodoh-bodohkan oleh LIGS.

UPKO ADALAH PARTI YANG SESUAI BAGI MASYARAKAT RUNGUS

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun -Murut Bersatu ( UPKO ) adalah satu-satunya parti di Negeri Sabah yang sesuai disertai oleh Masyarakat Rungus.Ini kerana dasar parti ini yang memperjuangkan masyarakat KDM.

Masyarakat suku kaum Rungus yang pada masa ini dianggarkan hampir 50,000 orang, tinggal di beberapa daerah di utara Sabah iaitu di Kudat, sikuati, Matunggong,Kota Marudu, pitas dan di Kanibongan ( Dalam kawasan DUN Banggi ). Masyarakat Rungus perlu bersatu dalam satu parti yang sama supaya masyarakat lain merasa hormat kepada masyarakat Rungus terutama sekali bagi masyarakat Rungus yang berada di Kanibongan.

Menyertai parti lain dilihat sebagai merugikan masyarakat Rungus itu sendiri.Kerana selagi kita tidak bersatu disebabkan ingin mengejar habuan akan menyebabkan masyarakat Rungus di sini akan selama-lamanya jadi pak turut dan pak angguk. Fikir-fikirkanlah perkara ini.

Saya sarankan sesiapa yang sempat membacanya, silap beri respon dan cadangan.

Sabtu, 29 Mei 2010

PEMUDA BN PARLIMEN KUDAT MENGANJURKAN PROGRAM JUARA RAKYAT SEPANJANG BULAN JUN 2010

Pemuda Barisan Nasional Parlimen Kudat akan menganjurkan Progrma "Juara Rakyat" pada sepanjang bulan jun yang akan datang ini. Penganjuran Program ini diterajui oleh Ketua Pemuda UMNO Kudat iaitu Ybgh. Tuan Sh.Sahar Sh.Ading selaku pengerusi Induk program. Pelaksanaan program ini melibatkan semua ketua-ketua pemuda komponen daripada PBS, UPKO dan LDP.

Dalam program itu tiga DUN yang ada dalam parlimen Kudat akan menganjurkan aktiviti berbentuk sukan permainan dan juga sukaneka dan akan dikendali dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa di peringkat DUN masing-masing. Bagi Dun Banggi program ini diadakan di dua lokasi iaitu di Pulau Banggi dan juga di Kawasan Daratan Kanibongan.

Program ini yang dilaksanakan sempena dengan 'Bulan Belia dan Sukan' mensasarkan kepada para belia di kawasan parlimen Kudat.

Jumaat, 28 Mei 2010

IPTS RUANG TERBAIK PELAJAR BAGI MENERUSKAN PENGAJIAN


IPTS (Institiusi Pengajian Tinggi Swasta ) merupakan ruang yang terbaik para pelajar bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana kerana ia dianggap setanding dengan IPTA. Universiti Tun Abdul Razak Kampus Sabah merupakan salah sebuah IPTS yang terkenal di negara kita.(Gambar suasan pendaftaran UNITAR)

IPTS ini menawarkan berbagai kursus pilihan sama ada peringkat Diploma dan juga Bachelor. Universiti Tun Abdul Razak atau ringkasnya UNITAR kita bakal berpindah ke bangunan barunya pada bulan julai ini di Luyang.

Pada 24 dan 25 Mei yang lalu IPTS ini telah mengadakan pendaftaran pelajar baru. pendaftaran tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar.Universiti ini menyediakan berbagai kemudahan kepada pelajarnya. Antara kemudahan yang disediakan ialah Hostel, pengangkutan untuk pergi dan balik menghadiri kuliah dan lain-lain kemudahan lagi.

Jumaat, 21 Mei 2010

KANIBONGAN PERLU DINAIK TARAF SEBAGAI DAERAH KECIL


Sambutan Kaamatan peringkat Daerah Kecil Banggi yang diadakan di Dewan terbuka Pekan Kanibongan yang dirasmikan oleh ADUN N1 Banggi sendiri iaitu YB.Abdul Mijul Hj.Unaini, telah turut dihadiri oleh dua lagi Adun iaitu YB.Sarapin Magana ADUN N4 Matunggong selaku Setiausaha politik kepada Ketua Menteri dan juga ADUN N3 Pitas, Yang Berhormat Datuk Bolkiah Hj.Ismail, Pembantu Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Walaupun kedua-dua Yang Berhormat ini hanya sebagai VVIP pada perayaan itu dan tiada ruang kesempatan untuk berucap namun, adalah diharapkan Yang Berhormat Sarapin Magana dan Yang Berhormat Datuk Bolkiah Hj.Ismail dapat melihat sendiri mengenai keadaan Pekan Kanibongan yang masih lagi dahagakan pembangunan seperti ruang permis untuk berniaga,kemudahan-kemudahan lain seperti Dewan yang selesa , Mini Pusat Sukan, bekalan air dan lain-lain kemudahan pembangunan Luar Bandar. Dan boleh membantu YB.Abd.Mijul Hj.Unaini bagi menyatakan hasrat kepada Ketua Menteri melalui, mesyuarat-mesyuarat Kabenit Negeri.

Dalam ucapan perasmian oleh YB.Abdul Mijul Hj.Unaini, menjelas dan menekankan bahawa perpaduan adalah elemen penting yang harus diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Satu perkara paling penting yang disentuh oleh YB ialah pemberian taraf DAERAH KECIL KEPADA KANIBONGAN. Selagi keadaan dan kedudukan Kanibongan sekarang ini tidak berubah adalah amat sukar untuk membuat pelan pembangunan di Kanibongan. YB.Abd.Mijul Hj.Unaini telah berjanji akan membawa dan mengajukan masalah ini ke Ketua Menteri Sabah.

Sebelum daripada itu, Pengerusi Pelaksana Perayaan iaitu Tuan. Makuji Maturon dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, merangkap pengerusi Induk perayaan turut menyampaikan ucapan masing-masing.

Acara kemuncak perayaan ini ialah Pertandingan UNDUK NGADAU bagi memilih wakil ke pertandingan peringkat Negeri pada penghujung bulan ini di Hongkod Koisaan Penampang,Sabah.

Khamis, 20 Mei 2010

KAAMATAN UPKO KUDAT MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN


Tarikh 17 Mei 2010 menjadi sejarah kerana julung kalinya Parti KDM iaitu UPKO telah berjaya mengadakan Perayaan Kaamatan Peringkat Parlimen Kudat. Perayaan itu yang dianjur dan dikendalikan oleh Jawatan kuasa Bahagian UPKO Kudat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat di kawasan pitas.

Perayaan yang bertempat di Dewan Kampung Indah pitas ini, dirasmikan oleh Tan Sri Bernerd Giluk Dompok Presiden UPKO merangkap Menteri Perusahaan, perladangan dan Komoditi Malaysia. Dalam perayaan itu terdapat 7 cawangan baru UPKO telah menyerahkan borang keahlian mereka.

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Bernard telah menyentuh pelbagai isu. Antara yang dijelaskan oleh beliau ialah isu tanah, kedudukan UPKO dalam barisan Nasional dan lain-lain lagi.

Sebelum itu, Pengerusi Pelaksana Kaamatan iaitu En.Innocent Lasimbang dalam ucapannya yang mengalu-alukan kedatangan Tan Sri ke pitas berharap supaya perayaan itu asas kepada perpaduan masyarakat pelbagai etnik di kawasan parlimen Kudat. Sementara Ketua Bahagian UPKO Kudat iaitu YBhg. En.Lightson Kohiya dalam ucapannya, menyentuh tentang pemilikan Lot tanah tanaman getah berkelompok di kawasan Kanibongan. Beliau yang juga Ahli Majlis tertinggi UPKO pusat merupakan seorang jurutera dan pemimpin muda yang berwawasan dan berpandangan.

Serentak dengan perayaan itu juga, pejabat UPKO Kudat yang terleyak di pekan pitas turut dirasmikan oleh Tan Sri Bernard G.Dompok. Acara kemuncak perayaan ialah UNDUK NGADAU bagi memilih wakil UPKO Kudat ke pertandingan Unduk Ngadau perayaan Kaamatan UPKO peringkat Kebangsaan di Keningau Sabah pada 29 Mei akan datang.

Isnin, 26 April 2010

AKHIRNYA LIGS MEMPERKOTAK-KATIKKAN PENDUDUK BEBERAPA BUAH KAMPUNG DI SEKITAR KANIBONGAN

Pada akhirnya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS ) telah memperkotak - katikkan semua penduduk di 17 buah Kampung terhadap pemilikan lot-lot tanaman getah berkelompok. Mengikut berita terbaru yang diterima oleh orang kampung bahawa, setiap keluarga yang tanah mereka diusahakan oleh LIGS bagi penanaman getah tersebut hanya diberi 1000 pokok atau 5.5 ekar sahaja.
Berita ini tidak menggembirakan malahan, ia membangkitkan kemarahan kerana rencana penipuan ini telah menjadi kenyataan. Kita ingin bertanya.Apakah matlamat utama pelaksanaan projek mega ini. Adakah ia untuk membantu memajukan tanah atau hanya menimbulkan kemarahan penduduk kampung.

Sebelum projek ini di tempatkan di kampung-kampung yang terlibat, setiap seisi keluarga mempunyai tanah ADAT seluas 30 ekar.Bila pujuk rayu LIGS diterima maka, tanah ini diserahkan kepada LIGS untuk diusahakan dengan jamin bahawa setiap keluarga akan memperolehi tanaman getah itu seluas 10 ekar. Ini bermakna, seluas 20 ekar tanah telah dikorbankan oleh para pemilik tanah kerana terlalu gembira dengan 10 ekar yang dijanjikan tadi.Ini berlaku pada penghujung tahun 2004.

Pada tahun 2010 ini,pokok-pokok getah ini sudah matang dan pembahagian lot akan dijalankan dalam masa terdekat. Formula pembahagiannya adalah seperti yang dinyatakan di atas. Kaedah ini tidak dipersetujui oleh itu, adalah wajar ia dikaji semula oleh LIGS.

Selasa, 30 Mac 2010

PEMUDA UPKO PARLIMEN KUDAT MENGANJURKAN TAKLIMAT PENANAMAN LADA HITAM


Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UPKO Kudat telah menganjurkan Taklimat Penanaman Lada Hitam bertempat di Dewan Serbaguna Pekan Pitas. Taklimat tersebut dirasmikan oleh YBhg.Datuk Philip Lasimbang, setiausaha Politik kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia. Dalam Ucapan perasmiannya Datuk Philip menjelaskan tentang potensi tanaman Lada Hitam yang mana pada masa ini tanaman ini banyak ditanam dan diusahakan di negeri Sarawak.

Taklimat disampaikan oleh En.Gilbert Gun yang diundang khas dari Sarawak merupakan seorang penceramah yang cukup berpengalaman mengenai teknik dan kaedah penanaman lada hitam ini. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pemuda UPKO Pusat iaitu En.Arthut Sean, En.Lightson Kohiya Ketua Bahagian UPKO Kudat,En.Innocent Lasimbang Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kudat,Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UPKO Kudat.

Peserta yang hadir dalam taklimat itu dianggarkan 250 orang dan menyatakan minat untuk menanaman lada hitam ini.

Dalam ucapan penutupan oleh Ketua Bahagian beliau menjelaskan bahawa Daerah Pitas akan dijadikan perintis bagi tanaman ini.

Khamis, 11 Mac 2010

KERJASAMA DAN PERSEFAHAMAN ANTARA PARTI KOMPENON BARISAN NASIONAL DALAM DUN BANGGI DIALU-ALUKAN


Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi kawasan Banggi iaitu YB.Abd.Mijul Hj.Unaini menyatakan kesediaan untuk mengadakan persefahaman dan bekerjasama dengan parti-parti kompenon Barisan Nasional lain yang ada di N1 Banggi iaitu,UPKO dan PBS. Adun Banggi itu menjelaskan demikian dalam ucapan balasnya terhadap penjelasan ringkas daripada Ketua Bahagian UPKO Kudat mengenai maksud dan tujuan kunjungan tersebut.

Rombongan UPKO bahagian Kudat yang diketuai oleh Ketua Bahagian Ybhg.En.Lightson Kohiya, disertai oleh Naib Ketua Bahagian iaitu KK.Tonduk Hongkong, Setiausaha bahagian iaitu En.Mapaham Rumunjing, Ketua Pemuda Upko Kudat En.Johnny Mojuhi dan AJK bahagian iaitu En.Mokhtar Migit. Dalam pertemuan ini juga, YB menyatakan kedudukan Daratan Kanibongan dari segi pentadbiran ia berada di bawah pentadbiran Daerah pitas (DUN N3 Pitas)manakala di sudut yang lain ia berada dalam DUN Banggi bagi kawasan pilihanraya.Menurut YB keadaan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan kesulitan bagi pengagihan sesuatu projek untuk rakyat di Daratan Kanibongan.




Khamis, 18 Februari 2010

JAWATANKUASA UPKO KUDAT MELAWAT KAMPUNG RANGGAL KANIBONGAN,PITAS.


Jawatan kuasa Bahagian UPKO Kudat telah mengadakan lawatan ke Kampung Ranggal dalam kawasan DUN Banggi. Rombongan lawatan ini diketuai sendiri oleh YBhg.Tuan Lightson Kohiya selaku Ketua Bahagian UPKO Kudat merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti UPKO Pusat.

Ketua Bahagian UPKO Kudat dalam ucapannya menjelaskan mengenai Parti UPKO kerana segelintir penduduk Kampung tidak mengetahui tentang kedudukan UPKO selaku rakan kongsi Kongsi Kompenon Barisan Nasional yang menerajui pemerintahan negara. Mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan, Tuan Ketua Bahagian menjelaskan bahawa UPKO Kudat tidak mempunyai apa-apa kuasa cumanya, boleh membantu penduduk bagi memberi sokongan kepada satu-satu permohonan untuk disampaikan kepada yang berkenaan.

Wakil penduduk Kampung yang berucap sebelum ini menyatakan ucapan terima kasih kepada Jawatan Kuasa UPKO Kudat kerana sudi dan meluangkan masa untuk melawat Kampung Ranggal. Tambahnya, setidak-tidaknya boleh melihat sendiri kemajuan Kampung tersebut sejak pilihan raya tahun 2008. Antara masalah yang dinyatakan dalam ucapan En.Rusihin Mayampuk ialah Dewan yang didirikan secara bergotong-royong merayu kepada kerajaan Barisan Nasional membina Dewan baru yang lebih baik.

Untuk pengetahuan rakan-rakan seperjuang, UPKO Kudat akan mengadakan lawatan ke Sikuati,Kudat pada 20 Februari 2010. Rakan-rakan dipelawa untuk menyertainya.

Rabu, 3 Februari 2010

TANAMAN GETAH BERKELOMPOK SEMBILAN PULUH LIMA PERATUS BOLEH DIMILIKI.

Tanaman Getah Berkeolompok di Kanibongan dalam kawasa DUN Banggi kini, mempunyai harapan 95 peratus untuk dimiliki oleh para penduduk Kampung yang mana kawasan tanah mereka telah dimasukkan dalam penanaman ini, yang dikendalikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah( LIGS ).

Harapan ini telah dinyatakan oleh ADUN N1.Banggi iaitu YB. Abdul Mijul Hj.Unaini semasa, merasmikan majlis Malam Seni Jiran Muda, peringkat Daerah Pitas Anjuran Kawasan Rukun tetangga Daerah Pitas yang diadakan di Dewan Baru Serbaguna di Kampung Bongkol,Pitas pada 30 Januari 2010.

Mendengar berita ini, penduduk Kanibongan merasa gembira dan berterima kasih kepada ADUN mereka yang tidak henti-henti menyuarakan masalah ini kepada kerajaan. Namun, masih ada perasaan ingin tahu kenapa jaminan dan harapan itu bukanya seratus peratus. Mereka bertanya lagi mana yang lima peratus itu.

Para pemimpin akar umbi di sekitar Kanibongan merayu kepada kerajaan supaya lot-lot tanaman getah yang dikatakan menangani kemiskinan itu, dapat dimiliki seratus peratus dan secara mutlak oleh semua penduduk yang rela tanah Adat mereka diusahakan oleh LIGS.

Sabtu, 23 Januari 2010

PEJABAT UPKO P167 KUDAT MULA DIGUNAKAN


Pejabat Parti UPKO P167 Kudat yang terletak di pekan Pitas telah mula digunakan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Bahagian yang di adakan pada 23 Januari 2010. Walaupun pejabat ini belum dilengkapi dengan perabot,telephone,fax dan lain-lain kemudahan namun jawatankuasa bahagian ini tidak perlu lagi menyewa di tempat lain untuk mengadakan mesyuarat.

Segala usaha pengujudan pejabat ini adalah atas usaha YBhg En.Lightson Kohiya Ketua Bahagian UPKO Kudat merangkap AMT UPKO Pusat.Dengan adanya pejabat ini, segala urusan Jawatankuasa Bahagian dan sayap parti akan dijalankan dipejabat baru ini. Dalam ucapan Ketua Bahagian, walaupun Jawatankuasa Bahagian kekurangan Dana namun, atas semangat perjuangan yang ada pada semua Ajk semua program dan aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ketua Bahagian UPKO Kudat ini yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Kejuteraan dan merupakan anak tempatan Kanibongan yang mana pada masa ini bertugas sebagai jurutera di Pusat Perubatan Sabah (SMC) di Kota-Kinabalu.

PEJABAT UPKO P 167 KUDAT TERLETAK DI PITAS

PERTUBUHAN PASOKMOMOGUN KADAZANDUSUN MURUT BERSATU (UPKO) Bahagian P167 Kudat telah menyewa sebuah rumah di pitas untuk digunakan sebagai Pejabat Bahagaian bagi memudahkan Jawatankuasa Bahagian, Pemuda, Wanita dan Komulakan mengadakan mesyuarat dan segala urusan parti akan dijalankan di pejabat baru ini.

Walaupun belum dilengkapi dengan perabot dan juga belum ada papan tanda namun pejabat ini telah mula digunakan bermula pada bulan Januari 2010 ini.

Khamis, 21 Januari 2010

JALAN RAYA BERBUKIT TIDAK BOLEH DILALUI OLEH KENDERAAN BUKAN PACUAN EMPAT RODA

Jalan raya berbukit di Kampung Masin Besar yang merupakan jalan utama bagi 12 buah Kampung tidak dapat dilalui oleh kenderaan yang kecil kerana ia adalah struktur batu dan berlubang-lubang. Keadaan inilah yang menyebabkan ia sukar dan tidak boleh dinaiki oleh kereta yang kecil.

Masyarakat Kampung berharap supaya pihak JKR Pitas dapat melakukan sesuatu untuk membaiki bukit berbatu ini kerana, ia adalah jalan utama yang digunakan oleh penduduk kampung yang terlibat sama ada ke Pekan Kanibongan ataupun ke pekan Pitas.

Selasa, 19 Januari 2010

JALAN RAYA KANIBONGAN - PITAS TIDAK DAPAT DILALUI KENDERAAN KERANA BANJIR


Jalan raya utama yang menghubungkan antara Kanibongan dengan Pitas tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan kerana ditenggelami banjir sedalam hampir 2 meter. Ramai pengguna jalan ini terkandas selama 3 hari di kawasan yang ditenggelami banjir iaitu di Kampung Kabatasan,Pitas. Bencana Alam yang berlaku ini menyebabkan segala urusan tergendala.

Setiap musim hujan yang berlaku pada antara penghujung Bulan November hinggna bulan Januari, kawasan jalanraya ini pasti akan ditenggelami air dan menyebabkan ribuan pengguna jalanraya bukan sahaja dari Kanibongan malah para pengguna dari kawasan Sandakan,Lahad Datu,Tawau turut merasa kesulitan untuk menggunakan jalan ini.

Jika keadaan jalanraya ini tidak dibaiki maksudnya ditembus supaya ia menjadi tinggi selagi itulah keadaan ini berulang seperti satu rutin kebiasaan. Difahamkan bahawa, Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja penimbusan kawasan jalan ini yang jauhnya lebih kurang 5 ratus meter. Namun sehingga kita tidak ada tanda-tanda yang kawasan jalan ini akan ditimbus.Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini. Gambar di atas diambil pada hari ke 3 banjir tersebut. Hanya kenderaan pacuan empat roda yang boleh melalui jalan raya ini.

Jumaat, 15 Januari 2010

PEMBINAAN BANGUNAN KEKAL SMK.KANIBONGAN PITAS DAPAT DIREALISASIKAN PADA TAHUN INI.

SMK.Kanibongan yang masuk ke 12 tahun penubuhannya pada tahun 2010 ini, mempunyai harapan yang besar untuk mempunyai Bangunan kekal apabila Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia iaitu YB Datuk Dr.Mohd Puad Zarkashi melawat SMK.Kanibongan yang mana pada masa menumpang di SK.Kanibongan Pitas.

Sudah tiba masanya sekolah itu mendapat bangunannya sendiri memandangkan sudah terlalu lama menumpang prasarana dengan SK.Kanibongan. Banyak faktor dan sebab kenapa kerajaan melulus dan seterusnya membina bangunan SMK tersebut. Pertambahan pelajar dari setahun ke setahun salah satu faktor yang sangat penting dan perlu dipandang serius oleh kerajaan. Semoga dengan lawatan Timbalan Menteri Pelajaran itu ke Kanibongan Pitas, adalah diharapkan supaya pada tahun ini juga masyarakat Kanibongan ingin melihat bangunan kekal itu dimulakan pembinaannya.

Jumaat, 1 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Kita telah melabuh dan meninggalkan tahun 2009 dan kini kita akan menempuh pula tahun baru 2010. Banyak perkara dan pengalaman hidup yang kita telah hadapi tahun lalu.Ada pengalaman manis dan tidak kurang yang menyedihkan namun kita dapat menghadai dan menanganinya dengan baik.

Bagi Tahun Baru 2010 semoga ia memberi dan menjanjikan suatu peningkatan hidup yang lebih baik lagi.Kemajuan dan kejayaan dalam kehidupan boleh kita miliki dengan syarat kita kena berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa juga yang kita mahu usahakan. Pepatah mengatakan bahawa " Yang pepeh tidak datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek" memang pepatah melayu ini ada kebenarannya. Sesuatu yang kita inginkan tidak kita dapat dengan sekelip mata dan dengan masa yang singkat.Kita kena terpaksa melipat gandakan usaha baharulah apa yang kita ingini boleh kita capai.

Tuhan tidak akan menolong pada orang yang tidak terlebih dahulu menolong diri sendiri. Ungkapan ini perlu kita amalkan dalam hidup kita selagi kita masih menumpang di bumi yang penuh mencabar ini.
 

Featured