Ahad, 27 Disember 2009

PROJEK PERUMAHAN RAKYAT TERMISKIN (PPRT) PERLU DITERUS DAN DIPERLUASKAN


Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu diterus dan diperluaskan lagi kepada golongan sasar.Ini kerana masih ramai lagi golongan termiskin SEKALI di pelusuk kampung terutama di kawasan Daratan Kanibongan dalam kawasan DUN Banggi.

Rumah yang tertera dalam blog ini terletak di Kampung Kutoyon Kanibongan pitas, yang memerlukan keprihatinan daripada kerajaan supaya dapat memberi dan membina sebuah rumah PPRT kepada pemilik rumah ini. Rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan perlu diterjemahkan secara telus supaya slogan PM itu dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat pada keseluruhannya.

CUTI SEKOLAH HAMPIR KE PENGHUJUNGNYA

Cuti Persekolahan Akhir Tahun 2009 selama lebih satu bulan kini hampir ke penghujungnya dan akan melangkah ke musim persekolahan baru iaitu pada tahun 2010. Terlalu banyak aktiviti yang dilakukan dalam masa cuti ini menyebabkan, cuti yang agak lama juga itu, dirasakan begitu cepat berlalu.
Disamping aktiviti sendiri dalam keluarga, aktiviti sosial dan kemasyarakatan telah menyebabkan cuti tersebut saya rasakan berlalu dengan pantas sekali. Di minggu akhir cuti ini kita dapati para ibu bapa adalah yang paling sibuk mengurus persediaan persekolahan anak-anak yang akan bermula pada 4 Januari 2010.

Jika kita mengunjungi pusat-pusat membeli-belah seperti more chance,milimewa dan lain-lain tempat kita dapati ramai ibu-bapa yang sibuk membeli peralatan atau kelengkapan seperti pakaian seragam, alat-alat tulis, beg, kasut dan sebagainya. Saya rasa terkilan dan terharu juga melihat betapa mereka mengambil berat terhadap anak-anak.Di samping tangungjawab sebagai ibu bapa, mereka melihat supaya anak-anak mereka berjaya dalam akademik hingga ke menara gading bagi menjamin masa depan anak-anak mereka. Saya menyokong usaha mereka ini.Selamat menempuh alam persekolahan 2010.

Rabu, 23 Disember 2009

SELAMAT MENYAMBUT PERAYAAN HARI KRISMAS 2009

Pada 25 Disember tahun ini penduduk seluruh Dunia yang beragama kristian yang dianggarkan 2.2 bilion jumlahnya akan meraihkan perayaan agama ini secara serentak. Bagi kita di neraga Malaysia yang tercinta ini yang mempunyai masyarakat majmuk sudah tentu, akan mengambil kesempatan ini untuk ziarah-menziarahi saudara-mara dan juga sahabat handai. Di samping menjamu selera yang lebih penting sekali ialah memupuk dan mengekalkan hubungan silaturahhim yang sedia terjalin bagi meneruskan kesinambungan perpaduan antara kaum.

Di hari yang penuh keberkatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucaokan selamat menyambut perayaan Hari Krismas kepada semua kawan-kawan dan yang mengenali saya di mana juga berada. Kita kekalkan kerjasama dan perpaduan yang terjalin sekian lama supaya ia terus terpelihara dan dihormati. Selamat melangkah ke tahun baru 2010.

Ahad, 20 Disember 2009

SINUKAB FC MUNCUL JUARA PERTANDINGAN BOLA SEPAK TERBUKA SEMBILAN SEBELAH ANJURAN PEMUDA UPKO KUDAT 2009


Sinukab Foot Ball Club telah muncul sebagai juara pertandingan Bola Sepak terbuka sembilan sebelah anjuran pemuda UPKO kudat. Perlawanan Akhir yang diadakan pada 20 Disember 2009 di antara pasukan Naraandan FC dan Sinukab FC itu berkesudahan dengan tanpa jaringan walaupun berlarutan ke masa tambahan. Tendangan penalti memihak kepada Sinukab FC dengan jaringan 3 gol berbalas 2.
Dalam ucapan perasmian penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Pemuda UPKO Pusat iaitu En.Arthur Sean memuji penganjuran tersebut dan menganggapnya sebagai berjaya dengan jayanya. Beliau juga memuji semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan tersebut. Pertandingan Bola Sepak ini akan dijadikan aktiviti tahunan pergerakan pemuda UPKO Kudat. Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UPKO Pusat, merangkap Ketua Bahagian UPKO Kudat iaitu En.Lightson Kohiya dan Ketua Pemuda UPKO Kudat yang juga Pengerusi Penganjur pertandingan iaitu En.Johnny Mojuhi. Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh En.Arthur Sean.

Jumaat, 11 Disember 2009

KEJOHANAN BOLA SEPAK TERBUKA 9 SEBELAH ANJURAN JAWATANKUASA PEMUDA UPKO KUDAT 2009.


Jawatan Kuasa Pemuda UPKO Bahagian Kudat yang di ketuai oleh En.Johnny Mojuhi telah menganjurkan Pertandingan Bola Sepak terbuka 9 sebelah yang diadakan di Kampung Narandang Pitas dalam kawasan DUN Banggi. Kejohanan tersebut telah disempurnkan perasmian pembukaannya oleh YBhg.Encik Lightson Kohiya Ketua Bahagian UPKO Kudat merangkap Ahli Majlis Tertinggi UPKO Pusat.
Penganjuran Sukan seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di samping dapat mempromosikan UPKO melalui sukan supaya generasi baru dapat menyelami wadah dan hala tuju perjuangan UPKO. Kejohanan ini adalah aktiviti penutup program jawatankuasa pemuda UPKO Kudat pada tahun ini. Perasmian penutupannya akan disempurnakan oleh YBhg.En.Arthur Sean Ketua pemuda UPKO pusat. Semua hadiah pemenang kejohanan itu di sumbangkan oleh YB. Masiung Banah ADUN 47 Kuamut.

Isnin, 7 Disember 2009

JAWATANKUASA PEMUDA UPKO KUDAT 2009-2011

Berikut adalah Jawatankuasa Pemuda UPKO Bahagian Kudat untuk period 2009 - 2011.

Ketua Pergerakan Pemuda : En.Johnny Mojuhi
Timbalan Ketua : En.Raymond Magontar
Naib Ketua Pemuda : En.Vincent Modilim @ Simon
Naib Ketua Pemuda : En. Jani Magontor
Naib Ketua Pemuda : En.Jonis Moribal
Setiausaha : En.Jaimin Rumimbun
Penolong Setiausaha : En.Edward Juslin
Bendahari : En.Mojilin Mahinsu
Penolong Bendahari : En.Sardi Jefrin
Pegawai Penerangan : En.Jepli Asin
Pen.Pegawai Penerangan : En.Rodik Jumain
Setiausaha Penganjur : En.Anthony Sukimbung
AJK:

1.En.Joniwa Sikawal
2.En.Ludin Nohong
3.En.Petrus Sarail
4.En.Jaini Mojinun
5.En.Said Tapha
6.En.Meijil Muringkat
7.En.Lerin Mirikan
8.En.Mosius Mergunsoon
9.En.Josmon Misun
10.En.Ruji Lolo
11.En.Alexson Makansim
12.En.Yoslin Yinsu
13.En.Jubli Molisin
14.En.Jaino Mekeg
15.En.Josrin Mogulud

Ahad, 6 Disember 2009

DIKATAKAN TERDAPAT SEMBILAN ORANG KETUA KAMPUNG DI KAWASAN KANIBONGAN AKAN DITAMATKAN PERKHIDMATAN DAN DIGANTIKAN DENGAN ORANG LAIN

Desas-desus mengatakan bahawa terdapat sembilan orang Ketua Kampung akan diberhentikan perkhidmatan mereka dan akan diganti dengan orang lain.Kenapakah perkara ini boleh berlaku pada waktu ini. Apakah pentadbiran Ketua Kampng yang terlibat itu tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang tidak betul terhadap masyarakat dan rakyat di kampungnya.

Sekarang bukannya masa untuk kita berpolitik.Tumpuan dan fokus utama kita ialah untuk pembangunan Kanibongan bukannya jatuh menjatuhkan anatara satu dengan yang lain. Di sini ada persoalan, ada ketua kampung yang perlu diganti kerana uzur dan mereka inilah yang perlu diganti dengan orang yang sihat untuk melaksanakan amanat kerajaan.

Saya telah menghubungi CDO N1 Banggi iaitu En.Mosikun Magetalt UPKR dan bertanyakan hal tersebut. Beliau pun hairan darimana sumber dan berita itu. Beliau menambah bahawa akan menemui YB Banggi iaitu YBAbdul Mijul Hj.Unainie untuk menyampai dan membincangkan masalah tersebut

Sabtu, 5 Disember 2009

ADALAH LEBIH RELEVEN JIKA ADA DUN BARU YANG DIUJUDKAN DINAMAKAN DUN KANIBONGAN.

Walaupun hanya perbualan kedai kopi bahawa satu DUN baru akan diujudkan dan telah ada cadangan oleh pihak-pihak tertentubahawa DUN yang bakal diujudkan itu dinamakan sebagai DUN Telaga dilihat secara teliti tanpa sesuatu tujuan di sebalik mee adalah di anggap tidak releven dan tidak profesional.
Jika kita buat satu tinjauan perbandingan antara Telaga dan Kanibongan, Kanibongan adalah sesuai ini kerana baru kita berdasarkan kedudukan Kanibongan yang terletak ditengah-tengah perjalanan ke pantai Timur memungkinkan bahawa Kanibongan adalah lebih sesuai berbanding dengan Telaga yang kedudukannya jauh kedalam kerana ia terletak ditepi laut berhadapan dengan teluk Marudu. Untuk topik ini, kita hentikan disini sahaja kerana keujudan DUN Baru di Sabah ini masih dalam proses.Lobi-melobi beserta dengan propaganda tidak membnatu kerana kesesuaian dari segi geografi dan fungsi semasa satu-satu kawasan itu juga diambil perhatian ini termasuklah kemudahan asas sedia ada dan lain-lain kriteria.

Jumaat, 4 Disember 2009

TANAMAN GETAH INI HAMPIR MATANG DAN BOLEH DITOREH PADA TAHUN HADAPAN

Beginilah keadaan pokok-pokok getah tanaman berkelompok di Kanibongan yang dikendalikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah ( LIGS ) yang telah menimbulkan sedikit keresahan kepada para penduduk kampung yang mana tanah mereka dimasukkan dalam projek ini pada tahun 2005. Pokok-pokok getah hampir berumur 5 tahun dan akan boleh ditoreh pada tahun 2010.

Apabila pokok-pokok getah ini ditoreh ia akan membantu para penduduk kampung bagi meningkatkan ekonomi luar bandar dan sekaligus akan mengurangkan peratus kemiskinan di kawasan luar bandar.Kita tahu sehingga kini kawasan luar bandar terlalu ketinggalan dalam segala aspek berbanding dengan kawasan bandar.

Khamis, 3 Disember 2009

TANAMAN GETAH BERKELOMPOK YANG DILANCARKAN OLEH MANTAN PM HAMPIR MATANG


Inilah papan tanda Ladang Industri Getah Sabah Semenanjung Bengkoka
(Kanibongan),Pitas yang telah dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri Malayia Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 9hb Jun 2006 yang bertempat di Kg.Sulakolung Kanibongan,Pitas.

Semasa pelancaran itu, pokok-pokok getah tersebut telah pun berumur hampir setahun. Umur pokok-pokok getah itu pada masa ini hampir lima tahun dan sedikit masa lagi pembahagian lot-lot kepada pemilik asal tanah yang juga adalah pemohon yang disenaraikan oleh Lembaga Industri Getah Sabah ( LIGS ) pada penghujung tahun 2004 iaitu perancangan awal terhadap penanaman Getah Berkelompok ini. Penduduk Kampung yang mana tanah-tanah mereka dimasukkan dalam projek ini berharap supaya mendapat lot tanaman berkenaan. Ini kerana kawasan tanah itu adalah tanah warisan daripada nenek moyang mereka dan statusnya adalah sebagai Tanah Adat mereka. Oleh yang demikian, sudah seharusnya mereka ini mendapat hak dalam pemilikan tanah berkenaan. Dalam hal ini, penduduk Kampung sama ada yang bekerja dengan kerajaan atau pun tidak mempunyai hak yang sama rata terhadap pembahagian lot-lot tanaman getah berkelompok tersebut. Konsep 1Malaysia iaitu, Rakyat di utamakan supaya ia bukan slogan semata-mata tetapi pelaksanaannya harus ditunaikan.

Khamis, 26 November 2009

PROJEK PERUMAHAN RAKYAT TERMISKIN (PPRT ) TIDAK SIAP DENGAN SEMPURNA


Satu Unit rumah PPRT di Kampung Sulakolung Kanibongan Pitas tidak siap dengan baik dan sempurna.Rumah yang sepatutnya telah diserah dan diduduki oleh pemilik sehingga sekarang belum ada tanda-tanda yang rumah tersebut boleh diduduki.
Kalau kita lihat rumah itu secara dekat, memang banyak bahagian yang dibuat tidak menapati spisefikasi sesuatu projek. Keadaan dinding yang retak membuatkan rumah bantuan rakyat termiskin itu tidak selamat diduduki.
Oleh itu adalah diharapkan supaya pihak yang berkuasa dapat melihat sendiri keadaan rumah tersebut supaya pemaju yang membina rumah itu dapat membuat pembaikan dengan segera.Rumah tersebut sudah beberapa bulan terbiar tanpa tindakan susulan daripada pihak yang berkuasa.

SELAMAT BERCUTI KEPADA SEMUA GURU.ISILAH MASA CUTI INI DENGAN KERJA-KERJA YANG BERFAEDAH


Setelah hampir setahun bergelumang dengan tugas yang mencabar sebagai pendidik,warga pendidk di seluruh negara mula bercuti pada pengujung bulan November sehingga awal tahun 2010.
Para guru bolehlah merehatkan minda mereka pada masa cuti ini dan golongan ini disarankan supaya melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk mengisi masa terluang yang agak lama juga.Antara kerja-kerja yang boleh dilakukan adalah seperti berkebun iaitu menanam getah,sawit dan lain-lain komoditi sama ada jangka pendek mahupun yang jangka panjang. Akhir kata selamat bercuti semoga kesihatan anda sentiasa diutamakan.

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SK.PANTAI PITAS TAHUN 2009


Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SK.Pantai Pitas tahun 2009 diadakan pada 20 November yang lalu. Majlis itu dirasmikan oleh Tuan Guru Besar sekolah berkenaan iaitu En.Jabelin Sahajinan.
Dalam ucapan beliau,majlis itu diadakan bagi menghargai dan meraihkan kejayaan murid-murid terutama bagi mereka yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Akhir tahun bermula dari murid Pra Sekolah hingga ke Tahun Enam. Dalam ucapannya, beliau menambah bahawa semua murid tahun Enam sekolah ini haruslah meneruskan persekolahan mereka ke Sekolah Menengah. Untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah pada masa ini adalah sangat mudah berbanding tahun-tahun 80an dahulu. Ini kerana sekolah-sekolah kebangsaan sekitar Kanibongan,paitan dan Beluran boleh bersekolah di SMK.Kanibongan. Turut hadir dalam majlis itu ialah YDP PIGB iaitu En.Laitin Muduk dan Pegawai Polis Pitas iaitu En.Jaitin Muduk. Diakhir ucapan Guru Besar, beliau mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid sekolah ini.

Selasa, 24 November 2009

RUMAH PERDANA JUARA SUKAN OLAHRAGA TAHUNAN SK.PANTAI KALI YANG KE-24

Rumah Sukan Perdana menjadi johan Majlis Sukan Tahunan SK.Pantai pada kali yang ke- 24 yang diadakan di padang Kampung pantai pitas pada 17 November 2009. Rumah Perdana yang mempertahankan kejuaraan tahun lalu, sekali lagi menjuarai pada tahun ini dengan, mengutip 5 emas, 4 Perak dan 9 gangsa. Terdahulu daripada itu, Pegawai Pelajaran Unit Pendidikan khas dan swasta En.Mohd.Nizam Chin, dalam ucapan perasmian, menyatakan tentang betapa pentingnya kegiatan Kokurikulum. Beliau menambah bahawa kegiatan Kokurikulum menyumbang sepuluh peratus keperluan markah untuk melayakkan seseorang pelajar itu untuk memasuki IPTA.
Sementara itu Guru Besar SK.Pantai iaitu En.Jabelin Sahajinan dalam ucapannya, menjelaskan bahawa tujuan sukan itu diadakan pada penghujung tahun adalah bagi memilih wakil sekolah ke kejohanan MSS Zon 5 Pitas yang adakan diadakan pada awal tahun 2010.

Sabtu, 14 November 2009

PIBG SK.PANTAI PITAS MENGADAKAN GOTONG-ROYONG


Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) SK.Pantai Pitas, telah mengadakan gotong royong membersih dan menggaris lorong,membuat pondok bagi persedian Sukan Tahunan sekolah tersebut yang akan diadakan pada 16 November 2009 yang akan datang. Gotong-royong tersebut di Ketuai oleh Yang Dipertua PIBG iaitu En. Laitin Muduk. Dalam gotong-royong itu beliau menjelaskan bahawa semangat kerjasama adalah amat penting bagi melaksanakan setiap program Sekolah bagi membantu pihak sekolah demi kepentingan murid-murid.
En. Naybin Majuring selaku penolong Kanan Pentadbiran pula berkata,pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibubapa yang hadir ke dalam gotong-royong itu.Beliau menambah supaya kerjasama seperti ini dapat dipupuk dan dapat diteruskan demi kepentingan sekolah dan murid-murid.

Rabu, 4 November 2009

TAMU KANIBONGAN MEMERLUKAN GERAI YANG LEBIH BAIK UNTUK KESELESAAN PENIAGA


Tamu Kanibongan yang di adakan pada hari Rabu dan Khamis, memerlukan gerai atau bangunan SEDCO supaya para peniaga dari kawasan ini mempunyai tempat atau permis berniaga yang lebih selesa.
Gerai-gerai yang ada sekarang adalah gerai terbuka dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat yang permanent oleh para peniaga dari kawasan Kanibongan yang berniat untuk membuka perniagaan di kawasan tamu tersebut. Pembinaan gerai yang lebih sesuai atau Bangunan SEDCO adalah perlu memandangkan Tamu Kanibongan salah satu tamu yang ramai pengunjung dari luar sama ada tujuan berniaga atau pun membeli-belah. Pembinaan gerai yang sesuai atau Bangunan Kedai SEDCO boleh menjadi pemangkin kepada penambahan pendapatan masyarakat tempatan di sekitar Kanibongan.

Selasa, 3 November 2009

ROMBONGAN KETUA BAHAGIAN UPKO KUDAT MEMBUAT KUNJUNGAN TERHADAP YB.ABDUL.MIJUL HJ.UNAINI


Ketua Bahagian UPKO Kudat YBhg.En.Lightson Kohiya dan beberapa orang rombongan telah melakukan satu kunjungan hormat kepada YB.Abdul Mijul Hj.Unainie, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) bagi kawasan Banggi dipejabat beliau di Kudat.Dalam kunjungan tersebut beberapa permasalahan rakyat di Daratan Kanibongan telah dibincangkan.
Antara masalah yang diperbincangkan ialah mengenai Projek penanaman Getah Berkelompok di beberapa buah Kampung di kawasan Kanibongan. Rombongan yang diketuai oleh YBhg.En.Lightson Kohiya yang juga AMT UPKO Pusat, menyerahkan surat rayuan bagi pemilikan Lot Tanaman Getah tersebut kepada pemilik asal tanah yang diusahakan oleh LIGS itu.

Sabtu, 31 Oktober 2009

KEBUDAYAAN KAUM RUNGUS PERLU DIPELIHARA

Masyarakat Rungus merupakan salah satu etnik di Negeri Sabah yang bertapak atau menduduki beberapa kawasan di utara negeri ini.Kudat,Sikuati,Matunggong,Kota-Marudu dan Pitas. Dari segi kebudayaan, kaum Rungus memang mempunyai pelbagai jenis budaya unik dan mengkagumkan.Tapi, apa yang diketengahkan disini ialah segala bentuk kebudaayaan asli masyarakat ini akan sedikit demi sedikit lenyap dan pada akhirnya ia akan hilang terus jika tidak ada usaha oleh masyarakat itu sendiri bagi memelihara kebudayaan yang menjadi identiti masyarakat rungus pada keseluruhannya,
Sebagai contohnya, Tarian kebudayaan Rungus iaitu "Mongigol dan Sumundai" akan beransur-unsur hilang jika generasi yang ada sekarang ini tidak berminat untuk mewarisi apa tah lagi memeliharanya. Oleh itu masyarakat rungus melalui SAMORA harus mengambil langkah yang proaktif untuk memelihara dan memartabatkan kebudayaan yang diwarisi sejak dari nenek moyang lagi.Adalah diharapkan juga Sabah Momogunrungus Association (SAMORA) supaya tidak menumpukan aktivitinya di sebelah Matunggong sahaja malah disemua Daerah yang mempunyai penduduk majoritinya adalah Kaum Rungus.

Selasa, 27 Oktober 2009

JAWATANKUASA UPKO BAHAGIAN KUDAT 2009-2011

Jawatankuasa Bahagian UPKO Kota Marudu dan Kudat telah dilancarkan oleh Presiden Parti iaitu YB.Tan Sri Bernard Dompok merangkap Menteri Perusahaan,Perladangan dan Komoditi pada 18Oktober 2009 bertempat di Dewan Komuniti Pekan Kota Marudu.
Berikut adalah barisan kepimpinan UPKO Kudat 2009 - 2011.

Pengerusi Tetap : En.Mokhtar Migit
Tim>pengerusi Tetap : Kosong
Ketua Bahagian : En.Lightson Kohiya
Tim.K.Bahagian : En.Innocent Lasimbang
Naib K.Bahagian : En. Justin Damo
Naib.K.Bahagian : En.Tonduk Hongkong
Naib K.Bahagian : En.Ismail Abdul Jamal
Naib K.Bahagian : En.Jemin Asin
Naib K.Bahagian(Wanita) : Pn.Annie Asim
Naib K.Bahagian(Pemuda):En.Johnny Mojuhi
Setiausaha : En.Mapaham Rumunzing
Pen.Setiausaha : En.Mapanggil Masain
Bendahari : En.Asangki Maratim
Pen.Bendahari : En.Jomin Mogompit
Peg.Penerangan : En.Moruwi Rumanggong
Pen.Peg.Penerangan : En.Masri Rumanjee
Setiausaha Penganjur : En.Jonis Moribal
AJK:
En.Ebil Sikawal
Pn.Dolini Hongkong
En.Justin Sansalu
En.Jairi Magandun
En.Jones Ruminjan
En.Jaimin Rumimbun
En.Raimon Mogantar
Pn. Jauna Asun
En.Jakri Moludak
En.Paulus Tejim
En.Chrismon Mintu ( Komulakan )
En.DD.Albert Bulakang
En.Masting Jumat
Pn.Dayang Jantan
AJK(Kosong)
Juruodit (Kosong)

PERBEZAAN LINTAH DAHULU DAN LINTAH SEKARANG


Di tahun 70 an' sebut saja perkataan Lintah tentu sekali ramai orang yang rasa geli bukan sahaja kaum perempuan malah kaum lelaki juga fobia perkataan lintah.Pada masa itu kita hanya boleh melihat lintah di sawah-sawah padi dan juga di sungai.Kadang-kadang kita nampak lintah di atas badan kerbau yang berkubang dalam lumpur,Ia langsung tiada nilai bagi masyarakat zaman itu.
Pada masa ini, lintah yang dahulunya dianggap tiada nilai telah melahirkan usahawan lintah yang berjaya. Lintah kita boleh lihat di kolam-kolam,dalam tangki dan sebagainya yang digunakan oleh para penternak untuk menternak hidupan ini.Ia tidak lagi menggelikan. Inilah yang saya katakan perbezaannya dahulu dan sekarang.Dari segi perubatan lintah turut menyumbang kepada perubatan terapi lintah.Ia boleh mengurangkan penyakit yang dihadapi seperti gout,darah tinggi dan sebagainya.

KEDUDUKAN KANIBONGAN DALAM DUN DAN DAERAH PENTADBIRAN ADALAH LAIN DARI YANG LAIN

Daratan Kanibongan yang merangkumi beberapa buah Kampung merupakan sebahagian daripada DUN Pilihanraya bagi N1 Banggi walaupun ia dipisahkan oleh laut china selatan dengan pulau Banggi. Dari segi pentadbiran, Kawasan Daratan Kanibongan termasuk dalam pentadbiran Daerah pitas sejak pitas diberi status sebagai sebuah daerah. Keadaan inilah yang membuatkan kedudukan Kanibongan ini menjadi pelik tapi benar.Saya rasa keadaan dan situasi seperti ini tidak terjadi di tempat-tempat lain di negara ini.
Keadaan ini boleh diibaratkan tidak ubah seperti "Tumbuhan yang Menumpang" dalam konteks ini, Daratan Kanibongan seolah-olah tidak ada ketetapan dan ranai berpendapat bahawa Kawasan Daratan Kanibongan ini semacam di anaktirikan. Ini pernah disuarakan oleh YB.N1 Banggi semasa ada rombongan pemimpin yang menemui beliau di Kudat pada bulan September yang lalu.
Jadi apakah tindakan yang perlu supaya senario ini tidak berterusan? Desakan dan rayuan supaya pemberian Status Daerah Kecil perlu di wujudkan. Kenapa pula Paitan sudah diberi status itu sedangkan dari segi jumlah populasi dan keadaan geografinya lebih kurang sama.Ini perlu diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan Negeri Sabah sekarang ini. Masyarakat di sini tidak mahu anak cucu tercicir dalam arus pembangunan global.

Rabu, 16 September 2009

MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA UPKO P167 KUDAT

Mesyuarat Pertama Bahagian UPKO P167 Kudat diadakan di Dewan Seminar Hotel Marudu Inn setelah proses Penggabungan ketiga-tiga bahagian iaitu Dun N1 Banggi, Dun N2 Tanjung Kapor dan Dun N3 Pitas pada 10 Jun 2009 yang diadakan di tempat yang sama.Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Bahagian iaitu Tuan Lightson Kohiya yang juga selaku AMT UPKO Pusat. Antara Agenda yang diperbincangkan ialah Pengujudan Pejabat Perhubungan UPKO P167 Kudat. Pejabat yang dicadangkan itu akan diujudkan di Pitas.

Selasa, 15 September 2009

PENGUJUDAN PEJABAT PERHUBUNGAN UPKR N1 BANGGI DI KANIBONGAN

Memulakan tugas sebagai YB baru bagi DUN N1 Banggi yang baru iaiti YB.Abdul Mijul Hj.Unaini telah mengujudkan Pejabat Perhubungan UPKR di Pekan Kanibongan dengan mengubah suai bangunan sedia ada yang sebelum ini sebagai Rumah Rehat Pekan Kanibongan.Pejabat yang diwujudkan itu menampatkan beberapa ruang pejabat, iaitu pejabat YB,pejabat CDO dan pejabat KAN dan Ketua-ketua Kampung.Oleh kerana YB juga ada mempunyai pejabat ADUN di Kudat maka beliau hanya sekali sekala akan berada di pejabat di sini,mengikut keperluan.En.Masikun Magetal selaku CDO adalah pegawai yang Permanent di pejabat ini bersma-sama dengan KAN En.Motimbun Stujongkok dan ketua-ketua Kampung serta Para PJKKK.
Pengujudan pejabat ini dilihat sebagai satu usaha yang baik daripada YB yang baru kerana selama ini pejabat ini tidak pernah diadakan.Disamping itu pengujudan pejabat ini juga sebagai tanda terima kasih dan menghormati terhadap kerjasama para penduduk kampung di sekitar Daratan Kanibongan yang membantu YB memenangi pilihanraya dengan majoriti yang besar.
Bagi para pemimpin yang ada di Daratan Kanibongan,dengan adanya pejabat ini akan menyedarkan Kerajaan betapa perlunya ada sistem pentadbiran terhadap Daratan Kanibongan.Walaupun,ia termasuk dalam N1.Banggi.Kerana kawasan DUN Banggi ini sangat besar iaitu kira-lira 1,355.25 Kilometer persegi dan tambahan lagi ia dipisahkan oleh Laut china Selatan dengan Pulau Banggi. Maka wajarlah ada sebuah pejabat perhubungan di Pekan Kanibongan.

Jumaat, 4 September 2009

YB.N1 BANGGI TURUN PADANG BERTEMU MASYARAKAT DARATAN KANIBONGAN.

Pada hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Banggi iaitu YB.Abdul Mijul Hj.Unainie telah lebih 1 setengah tahun menjadi Wakil Rakyat kawasan ini. Sesingkat itu YB yang mempunyai satu gaya kepemimpinan yang baik dan penuh komited terhadap tugas bagi merubah keadaan kawasannya telah, selesai misi pertamanya untuk bertemu para penduduk Kampung yang ada di Kawasan Daratan Kanibongan ini. Ini bermakna semua Kampung-kampung yang ada di sekitar Kanibongan telah dilawati oleh beliau.Beliau tidak memerlukan seebuah kampung itu mengadakan sesuatu majlis bagi menyambutnya. Yang penting bagi YB yang mempunyai sifat-sifat yang jujur,amanah dan telus dapat bersua muka dengan para penduduk bagi berkenal-kenalan di samping menyatakan ucapan terima kasihnya atas sokongan yang diberikan oleh mereka (Penduduk ) semasa pilihanraya tahun lalu.

Bagi kami di Kampung Kutoyon, YB telah melawat pada bulan Jun yang lalu semasa Kampung ini mengadakan sambutan perayaan Kaamatan 2009. Dalam ucapan YB dalam majlis tersebut Kampung kami telah diberi kelulusan pembinaan sebuah Balai Muhibbah bagi menggantikan Balai Muhibbah yang sudah uzur.Terima kasih kepada YB kami. Kami tetap dan setia menyokong YB.

Isnin, 31 Ogos 2009

SUDAH 11 TAHUN SMK.KANIBONGAN MENUMPANG DI SK.KANIBONGAN,PITAS

SMK.Kanibongan Pitas yang diujudkan pada 22 Februari 1999 sehingga kini telah masuk ke 11 tahun penubuhannya.Jika sekolah ini diibaratkan sebagai seorang manusia ia telah berada di tahun5 di alam persekolahan.Ia telah melalui satu jangka masa yang sudah agak lama.Sepatutnya bangunan sekolah ini telah tersergam indah tetapi sehingga kini ia belum lagi menjadi kenyataan seperti mana yang diharap-harapkan oleh semua lapisan masyarakat di sini. Menumpang dan berkongsi prasarana dengan SK.Kanibongan Pitas, akan menimbulkan pelbagai masalah terutamanya dari segi pengurusan dan pentadbirannya.

Untuk pengetahuan umum SMK.Kanibongan pada masa ini mempunyai 15 kelas dengan jumlah keseluruhan pelajarnya ialah 473 orang. Pertambahan pelajar dari masa ke semasa akan menyukarkan pihak pentadbir sedi segi penempatan kelas kepada para pelajar. SMK.Kanibongan yang masih menumpang sehingga kini adalah merupakan sekolah Menengah yang ketiga yang terletak di DUN Banggi. Kita harapkan sekolah ini akan dapat dipercepatkan pembinaannya.

Semoga dengan usaha YB.Abdul Mijul Unainie ADUN N1 Banggi yang telah mengusulkan supaya pembinaan Sekolah ini dipercepatkan akan menjadi kenyataan. Rakyat hanya menunggu tindakan susulan daripada Kerajaan terhadap perkara ini. Jangan biarkan SMK.Kanibongan terus menumpang di SK.Kanibongan Pitas.

Isnin, 20 Julai 2009

ADUN BARU N1 BANGGI PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT.

YB.Tuan Abdul Mijul Hj Unaini disenangi oleh rakyat di kawasan daratan Kanibongan yang memiliki kriteria sebagai pemimpin yang boleh merubah wajah kawasan daratan kanibongan dan Kawasan Banggi pada keseluruhannya.Pada catatan awal saya ini mengenai YB kami,saya hanya menyentuh serba sedikit tentang pemimpin yang betul-betul menitikberat dan mengambil berat rakyat di kawasannya.

Rabu, 15 Julai 2009

Pengenalan

Blog ini memaparkan dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kawasan daratan kanibongan dalam semua aspek seperti ekonomi,pendidikan dan budaya.Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dengan blog adalah diharapkan supaya kawan-kawan yang mengenali saya supaya dapat membantu idea dan buah fikiran dalam pengendalian blog ini.Berbalik kepada nama blog ini, iaitu "HARAPAN BARU KANIBONGAN" ia merupakan titik permulaan terhadap suatu perubahan kepada kawasan daratan Kanibongan dalam apa juga bidang pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang ini yang mengutamakan Rakyat.Kewujudan blog ini sebagai satu wadah untuk masyarakat Kanibongan untuk meluahkan keluhan,pendapat dan cadangan yang boleh membantu memajukan Kanibongan pada keseluruhannya.
 

Featured